Perkahwinan adalah salah satu perkara penting dalam kehidupan kita, semua orang inginkan perkahwinan dan rumahtangga yang bahagia.
Bila bercerita tentang perkahwinan tidak boleh lari dari kos perbelanjaan, ada macam-macam kos belanja semasa majlis kahwin dan kos belanja selepas kahwin.
Majlis kahwin adalah untuk menghalalkan hubungan pasangan, tidak perlu untuk ‘all out’ semua duit kita untuk majlis yang mewah. Cukuplah sekadar dengan buat majlis biasa-biasa untuk raikan tetamu yang datang.
Tujuan majlis nikah adalah untuk menghebahkan perkahwinan bagi mengelakkan fitnah, majlis kahwin biasa-biasa pun, nikah tetap sah.
Pasangan yang bijak akan berjimat pada hari majlis nikah dan fokus kepada hari selepas kahwin, macam-macam belanja nak kena keluar selepas kahwin.
Majlis nikah cuma sehari, kehidupan selepas majlis nikah sampai bila-bila. Pasangan nak kena pandai urus duit selepas kahwin, perkahwinan bukan main masak-masak petang-petang macam masa kita budak-budak dulu.
Saya kongsikan EMPAT tip bagaimana untuk susun kewangan selepas kahwin.
1. Sentiasa terbuka dengan pasangan; semua pendapatan dan duit belanja perlu dibincang dan disusun bersama pasangan untuk tahu status kewangan yang sebenar. Pastikan cashflow positif setiap bulan.
Apa itu cashflow positif? Cashflow positif adalah aliran tunai duit kita bila jumlah pendapatan kita melebihi jumlah perbelanjaan.
2. Matlamat kewangan yang jelas; bincang dengan pasangan tentang keperluan kewangan keluarga untuk 5 tahun, 10 tahun dan 20 tahun akan datang.
Jika perlu duduk sendiri adakah perlu sewa atau beli rumah? Bila nak beli kereta? Bila nak pergi haji? Bila nak pencen? Cari sifu kewangan insyaallah akan dapat jawapannnya.
Ada banyak persoalan kewangan bila dah kahwin yang sepatutnya dah dijawab sebelum kahwin lagi, masa lepas kahwin adalah waktu untuk laksanakan semua perancangan tersebut satu persatu.
3. Wujudkan tabung kecemasan; setiap pasangan perlu bersedia untuk hadapi waktu-waktu sukar dalam perkahwinan.
Realiti kehidupan tak sama seperti dalam drama TV, lebih baik kita diuji dengan masalah bila kita dah bersedia dengan simpanan yang cukup. Duit tak boleh selesaikan semua masalah, tapi banyak masalah boleh selesai bila ada duit.
Asingkan sebahagian duit gaji setiap bulan kepada tabung kecemasan, contohnya jika gaji dua-dua pasangan berjumlah RM6,000 mestilah ada tunai RM36,000 (minimum 6 bulan gaji).
Simpan tabung kecemasan tersebut di tempat yang memberikan pulangan hibah/dividen setiap tahun dan mempunyai risiko yang rendah. Biasanya ramai yang simpan di Tabung Haji dan ASB.
4. Kawal perbelanjaan harian, bulanan dan tahunan; salah satu kesilapan kita tidak cukup duit setiap bulan bukan soal gaji besar atau kecil tapi soal urus duit belanja seharian.
Cara mudah nak atasi masalah urus duit adalah dengan catat semua perbelanjaan secara konsisten setiap hari untuk kita tahu kemana duit kita bocor.
Dengan cara ini kita tahu kat mana kita nak kawal belanja kita, utamakan belanja keperluan dan potong mana belanja kehendak.
Tak mati pun kalau tak tengok rancangan TV berbayar. Langgan mahal-mahal untuk semua channel tapi tak sempat masa pun nak tengok semua. Download cerita yang kita suka, nak tengok bila-bila pun boleh ikut waktu kita adalah jauh lebih baik.
Potong bayaran TV berbayar dapat jimat RM100 boleh buat simpan emas setiap bulan. Dapat simpan 0.3817 gram pun tetap emas, akan datang ada potensi naik harga.
Perkahwinan yang berkekalan adalah hasil dari kerjasama dan tolak ansur dari setiap pasangan. Pengurusan kewangan akan mewujudkan rasa tanggungjawab diantara pasangan.
‘Duit tidak boleh bawa mati, tapi tiada duit rasa nak mati’
Sama-sama pandai urus kewangan Insya’Allah keluarga akan bahagia.
Semoga perkongsian ini memberikan manfaat pada semua. Wallahua’lam.
—————
Saya kongsikan Nota Kewangan dan Pelaburan PERCUMA di Telegram. Klik link ini https://t.me/NotaHawaHussin. Percuma saja kawan!